Make your own free website on Tripod.com

SAYURAN DAN TUMBUH-TUMBUHAN UNTUK KESIHATAN
Text Box: SAYURAN DAN TUMBUH-TUMBUHAN UNTUK KESIHATAN

 

KEMILI (SOLENOSTEMON ROTUNDIFOLIUS)

 

 

KESUM (PERSICARIA TENELLA)

 

RIZOM LAMPOYANG HITAM (ZINGIBER OTTENSII)

 

AKAR RUAS-RUAS (ASYSTASIA GANGETICA)

 

PEGAGA

 

 

ULAM RAJA (COSMOS CAUDATUS)

 

RUMPUT ISRAEL (ASYSTASIA GANGETICA SPP.MICRANTHA)

 

NAM NAM

(CYNOMETRA CAULIFLORA)

                                                                                                                           

 

 

 

KEMILI (SOLENOSTEMON ROTUNDIFOLIUS)

 

Pengenalan

        Sejenis herba saka berumpun, setinggi 60 - 90 cm dan ditanam sebagai tanaman semusim. Batangnya lembut, semi-sukulen, bersegi empat, pubusen, melentur atau menegak dan terdapat pada buku ruas-ruas bahagian bawah yang tumbuh akar. Daunnya ovat hingga sub-orbikular, bes kuneat, tepi daun bergerigi kasar, berukuran 2-6 cm panjang, 1.5-4 cm lebar berwarna hijau muda. Daun ini beraroma apabila diramas. Infloresen terminal, berjambak tegak, berbunga banyak, kecil dan berwarna keunguan.

        Herba ini berubi dan rupanya seakan-akan ubi kentang. Ubinya berukuran 2-4 cm panjang, 0.5-2 cm lebar, berwarna hitam keperangan dan isinya berwarna putih susu.

        Negara asal: Madagaskar atau Afrika Tropika dan tersebar hingga ke Sri Lanka, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

 

Kegunaan dan Khasiat

        Ubi kemili direbus atau dimasak seperti juga ubi-ubi lain. Ubi ini juga menjadi ramuan dalam masakan daging, ikan, sup atau sayuran lain sebagai penyedap rasa dan memaniskan masakan itu. Daun mudanya juga dibuat sayur dan menjadi ramuan penyedap rasa dalam masakan sayuran. Khasiat ubi ini dalam tiap-tiap 100 g, bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 75 g, protein 1.6 g, lemak 0.1 g, karbohidrat 21.7 g, serat 0.7 g, kalsium 51 mg, fosforus 27 mg, ferum 1.1 mg, natrium 7 mg, kalium 338 mg, vitamin A 0.0 mg, vitamin B1 0.16 mg, vitamin B2 0.07 mg, niasin 2.0 mg, vitamin C 8.1 mg. 

        Dalam tiap-tiap 100 g, bahagian yang boleh dimakan daunnya mengandungi: air 93.8 g, protein 0.9 g, lemak 0.3 g, karbohidrat 3.5 g, serat 0.6 g, kalsium 164 mg, fosforus 86 mg, ferum 3.9 mg, natrium 3 mg, kalium 119 mg, karotena 1231 mg, vitamin A 205 mg,  vitamin B1 0.02 mg, vitamin B2 0.81 mg, niasin 0.8 mg niasin 0.8 mg dan vitamin C 2.1 mg.

           

KESUM (PERSICARIA TENELLA)

 

Pengenalan

        Herba setinggi 45 cm, tumbuh tegak dan berumpun. Batangnya beruas-ruas, berwarna merah jambu keunguan. Buku ruas buncit sedikit dan pada buku ruas di pangkal batang tumbuh akar dan anak. Pada buku ruas bahagian atas terdapat selaput yang nipis seperti kertas, berwarna putih. Daunnya lanseolat, berukuran 5-10 cm lebar, berwarna hijau muda dan daun ini beraroma apabila diramas. Infloresen spika, dan bunga-bunganya halus bersesak pada spika dan berwarna  hijau kemerahan.

Negara asal: Negara asal herba ini tidak diketahui tetapi dipercayai berasal dari Asia Tenggara.

 

Kegunaan dan Khasiat

        Daun kesum ialah sayuran penyedap rasa dan sering digunakan dalam masakan seperti laksa, asam pedas, nasi kerabu dan berbagai-bagai resipi masakan tradisional yang digemari. Selain aromanya yang dapat merangsang selera, herba ini dapat mengurangkan bau dan hanyir ikan. Daun kesum mengandungi khasiat yang agak tinggi, terutamanya karotena dan vitamin C. Dalam 100 g, bahagian yang boleh dimakan daun, daun kesum mengandungi: air 73.2 g, protein 2.8 g, lemak 0.7 g, karbohidrat 18.4 g, serat 2.8 g, kalsium 232 mg, fosforus 19 mg, ferum 3.2 mg, natrium 19 mg, kalium 308 mg, karotena 7433 mg, vitamin A 1239 mg, vitamin B1 0.15 mg, vitamin B2 0.2 mg, niasin 2.8 mg, vitamin C 125 mg.

RIZOM LAMPOYANG HITAM (ZINGIBER OTTENSII)

 

Pengenalan

        Herba berizom dan berumpun, mencapai ketinggian antara 60-90 cm. Daun oblong-lanseolat atau oblong-elips, 10-20 cm panjang, 5-8 cm lebar, tumbuh distik pada kiri dan kanan batang daun yang tumbuh daripada rizom dalam tanah. Rizom berjari, 1-1.5 cm diameter, kulit berwarna kuning pucat dan isi berwarna putih kekuningan. Infloresen berbatang sepanjang 25-30 cm dan kepala bunganya bergaris bentuk oblong, 5-8 cm panjang, terdiri daripada bakteria yang berlapis-lapis, berwarna merah yang juga tumbuh daripada rizom. Bunga kecil, berwarna kekuningan dan 1-2 kuntum kembang pada satu masa. Semua bahagian herba ini terutama rizomnya beraroma.

        Spesies lain yang seakan-akan sama iaitu lampoyang hitam, berdaun lebar dan batangnya berwarna merah keunguan. Rizomnya juga lebih besar, berwarna kuning keunguan, isi putih-kuning kebiruan dan beraroma lebih kuat daripada lampoyang.

        Spesies lain yang disebut bonglai mempunyai daun yang linear dan berumpun kecil. Rizomnya berwarna kekuningan.

Negara asal: Selatan-India , Indo-China, Malaysia, Indonesia hingga ke Filipina.

 

Kegunaan dan Khasiat

        Rizom lampoyang, lampoyang hitam dan bonglai adalah ramuan dalam rempah dan penyedap rasa dalam masakan tradisional Melayu seperti sambal, bubur dan nasi ulam. Bagaimanapun rizom herba ini jarang-jarang digunakan lagi, mungkin kerana halia mudah didapati.

        Rizom lampoyang yang masih muda ditumbuk atau dimayang lalu dimasukkan sedikit dalam masakan dan rasanya pedas dan pahit sedikit. Rasa pedas ini dikatakan dapat merangsang selera. Kadang-kadang rizom ini ditumbuk dalam sambal dan dimakan sebagai pembuka selera. Air rizom yang ditumbuk dikatakan digunakan sebagai tonik dan sebagai ubat sakit perut.

        Rizom lampoyang hitam dan bonglai dikaitkan juga sebagai ubat tradisional dan sebagai ramuan dan persediaan jamu dan ubat ibu bersalin semasa dalam pantang. Rizom herba ini hendaklah digunakan dengan berhati-hati. Gunakan sedikit dan berpatutan sahaja. Penggunaan yang berlebihan boleh menyebabkan keracunan.

AKAR RUAS-RUAS (ASYSTASIA GANGETICA) atau RUMPUT ISRAEL (ASYSTASIA GANGETICA SPP.MICRANTHA)

 

Pengenalan

        Herba memanjat secara melilit atau merayap sehingga 1-2 meter panjang. Daun ovat. 5-10 cm panjang, 2.5-3.5 cm lebar, tip runcing, bes bundar atau runcing berwarna hijau tua. Infloresen resem, 5-12 cm panjang dan bunga berwarna putih atau putih kekuningan. Buah kapsul, silinder 1-1.5 cm panjang dan berbiji halus dan banyak.

        Spesies lain yang seakan-akan sama, iaitu Asystasia Gangetica spp.micrantha (Nees) Ensermu, mempunyai bunga yang kecil, berwarna putih dan tengahnya bertompok-tompok kebiruan. Negara asal: Afrika Barat hingga ke New Guinea dan diperkenalkan ke Malaysia pada tahun 1876 sebagai tanaman hiasan dan kini menjadi rumpai yang sukar dibasmi.

 

Kegunaan dan Khasiat

        Pucuk herba ini ialah sayuran tradisional. Biasanya dimasak rebus manis atau dimasak dengan ikan atau daging dalam berbagai-bagai resipi masakan tradisional yang digemari. Rasanya tidak begitu menyelerakan tetapi sayuran ini mengandungi khasiat makanan yang baik terutama mineral dan vitamin. Dalam tiap-tiap 100 g bahagian yang dimakan mengandungi: kalsium 205 mg, ferum 7-8 mg, vitamin A 7615 I.U.B1 1.16 mg, B2 0.20 mg, dan vitamin C 53 mg.

PEGAGA

 

Pengenalan

        Herba menjalar, batang stolon dan berizom pada buku ruas. Daunnya tumbuh roset pada buku ruas. Lai daunnya hampir orbikular, bes kordat, tepi daun bergerigi dan daunnya bersaiz 2-5 cm diameter. Petiol 5-10 cm panjang. Daunnya berwarna hijau tua dan beraroma sedikit apabila diramas. Infloresennya pedunkel, kira-kira 1-2 cm panjang dan biasanya terdapat 2-3 cm kuntum bunga yang kecil berwarna ungu kehitaman. Buahnya halus, ovoid, berwarna putih kehijauan.

Negara asal: Negara asalnya tidak diketahui tetapi dipercayai berasal dari India atau Asia Tenggara.

 

Kegunaan dan Khasiat

        Pegaga terkenal sebagai ulam dan dimakan dengan sambal kelapa dan udang kering. Pegaga juga dibuat kerabu atau sebagai ramuan nasi ulam.

        Pegaga terkenal juga sebagai ubat tradisional yang dapat mengurangkan cirit-birit dan ulser. Pegaga juga boleh digunakan sebagai tonik dan diuretik. Jus perahannya menjadi minuman yang boleh menyejukkan badan.

        Pegaga mengandungi khasiat yang tinggi. Dalam 100 g bahagian yang boleh dimakan, pegaga mengandungi: air 87.7 g, protein 2.0 g, lemak 0.2 g, karbihidrat 6.7 g, serat 1.6 g, kalsium 171 mg, fosforus 32 mg, ferum 5.6 g, natrium 21 mg, kalium 391 mg, karotena 2649 mg, vitamin A 422 mg, vitamin B1 0.09 mg, vitamin B2 0.19 mg, niasin 0.1 mg, vitamin C 48.5 mg.

ULAM RAJA (COSMOS CAUDATUS)

 

Pengenalan

        Herba semusim ini boleh mencapai ketinggian hampir 1 meter. Batangnya berwarna hijau tua dan keunguan sedikit. Kebiasaannya herba ini bercabang banyak di bahagian atas. Daunnya berhadapan, terdiri daripada 2-4 pina, bergaris bentuk ovat atau segi tiga, kira-kira 3.5-20 cm panjang dan 2-10 cm lebar. Segmen daun runcing atau oblong, kesat dan berwarna hijau tua. Bunganya bertangkai panjang, berwarna kuning keunguan. Daun herba ini beraroma apabila diramas.

        Negara asal: Amerika Tropika dan diperkenalkan oleh orang Sepanyol ke Filipina, seterusnya ke Indonesia dan Malaysia.

 

Kegunaan dan Khasiat

        Herba ini adalah sayuran ulam yang semakin diminati. Pucuknya atau daun yang masih muda dibuat ulam dan biasanya digaul atau digolek dengan sambal udang kering atau kelapa dan dimakan bersama-sama nasi. Ulam raja juga dicampurkan dengan pucuk-pucuk lain sebagai ramuan nasi ulam atau nasi kerabu. Sebagai sayuran tradisional, herba ini boleh juga dimasak lemak atau dicelur.

        Ulam raja juga dikenali sebagai ubat tradisional untuk membersihkan darah dan menguatkan tulang. Secara kebetulan herba ini mengandungi kalsium dan vitamin A yang tinggi. Dalam tiap-tiap 100 g bahagian yang boleh dimakan ulam raja mengandungi: air 93.1 g, protein 3 g, lemak 0.4 g, karbohidrat 0.6 g, serat 1.6 g, kalsium 270 mg, fosforus 37 mg, ferum 4.6 mg, natrium 4 mg, kalium 426 mg, karotena 3568 mg, vitamin A 595 mg, vitamin B1 0.13 mg, B2 0.24 mg, niasin 0.2 mg, vitamin C 64.6 mg.

NAM NAM (CYNOMETRA CAULIFLORA)

 

Pengenalan

        Pokok kecil atau renek setinggi 3-5 meter. Batang bercabang banyak, dahan zig-zag dan silara rimbun padat atau terbuka. Daun terdiri daripada sepasang anak daun ovat-oblong, asimetrik, berukuran 5-16 cm panjang dan 2-5 cm lebar. Infloresen terdiri daripada 4-5 rasem yang tumbuh sesak pada dahan tua atau pangkal batang. Bunga halus berwarna putih kemerahan. Buah atau lenggai berbentuk buah pinggang, 4-8 cm panjang, 3-4 cm lebar, 1.5-2 cm tebal, kulit menggerutu, berwarna hijau keperangan semasa muda dan bertukar perang kekuningan apabila masak. Lenggai ini mengandungi satu biji yang bujur berukuran 3-7 cm panjang, 2-3 cm lebar dan diselaputi oleh isi yang tebal berwarna putih kekuningan dan rasanya masam.

Negara asal: Asia Tenggara

 

Kegunaan dan Khasiat

        Buah yang cukup masak sering dibuat sambal, rojak atau menjadi penyedap rasa dalam berbagai-bagai resipi masakan yang memerlukan rasa masam. Rasa masam buah nam-nam sangat unik sehingga dapat merangsang selera. Buah daripada varieti yang manis sering juga dimakan segar dan menjadi kudapan kanak-kanak.

        Tidak banyak diketahui tentang khasiat makanan buah nam-nam. Dalam tiap-tiap 100 g bahagian yang boleh dimakan, nam-nam mengandungi: air 85 g, protein 1.5 g, lemak 0.06-1.28 g, karbohidrat 10 g, serat 1.4 g, vitamin 150-500 I.U., vitamin C 25 mg. 

 

Home | Info KesihatanMenu Kesihatan Menopaus | Rileks